Monday, 25 February 2013

Kita dan sejarah

KITA DAN SEJARAH

Ketika menulis artikel ini, saya baru sahaja menghabiskan pembacaan berkenaan dengan peristiwa 13 Mei.

Ya. Peristiwa 13 Mei. Jika ada yang masih ingat atau yang tahu, peristiwa berdarah ini berlaku pada tanggal 13 Mei 1969. Peristiwa yang menyebabkan pertumpahan darah berikutan rusuhan yang berlaku di ibu negara pada waktu itu . Tetapi  penulisan saya pada kali ini bukan untuk menceritakan berkenaan peristiwa ini, tetapi untuk meluahkan rasa sedih saya terhadap generasi muda masa kini yang seakan-akan tidak mengambil peduli tentang Sejarah.

Saya merupakan seorang pencinta Sejarah.Minat saya terhadap sejarah bermula sejak di bangku sekolah rendah lagi. Ketika itu, saya masih belum diperkenalkan dengan matapelajaran sejarah pun ketika di sekolah. Saya hanya mempelajari subjek Sejarah ketika di Tingkatan 1.

Saya masih ingat lagi ketika dibangku sekolah rendah, setiap kali tiba musim cuti sekolah, saya begitu seronok sekali bila dapat pulang ke kampung untuk berjumpa dengan arwah nenek . Ini kerana ketika arwah nenek saya masih hidup, beliau selalu bercerita tentang sejarah. Nenek selalu menceritakan kehidupan beliau ketika zaman kanak-kanak di era pemerintahan British. Malahan nenek juga merupakan antara generasi  yang pernah menyaksikan dan melalui kesengsaraan di era pemerintahan Jepun di Tanah Melayu. Nenek menceritakan secara terperinci peristiwa dimana Jepun mendarat di Kota Bharu pada tahun 1941 dan penduduk di Tanah Melayu pada ketika itu hidup sengsara ekoran keganasan tentera Jepun. Arwah nenek juga pernah menceritakan bagaimana beliau menyaksikan ibu saudaranya yang ketika itu sedang sarat mengandung ditanam hidup-hidup oleh tentera Jepun. Mendengar cerita arwah nenek, membuatkan saya rasa marah. Betapa manusia hilang pedoman ekoran rasa tamakkan kuasa dan dendam. Masih ingat lagi pesanan arwah nenek ketika itu, bahawa apa yang kita alami hari ini akan menjadi cerita dan pedoman di hari esok. Sejak dari hari itu, saya mula mencintai Sejarah. Saya percaya peristiwa hari ini akan menjadi satu nukilan sejarah untuk masa hadapan.

Ketika saya berada di peringkat Menengah Rendah, saya mula didedahkan dengan mata pelajaran Sejarah. Ketika itu saya mula faham kenapa kita perlu mengenal sejarah. Masih terngiang di telinga saya ketika guru Sejarah saya semasa di Tingkatan Satu mengatakan bahawa sejarah adalah suatu cerita yang dialami pada suatu masa yang lalu. Setiap manusia memiliki sejarah masing-masing. Sejarah itu penting kerana jika kita mengenal sejarah, maka kita akan mengenali diri kita sendiri.

 Rasa cinta saya terhadap sejarah tidak tamat di situ. Ketika berada di Tahun 3 pengajian di Universiti, ketika cuti semester, saya ditawarkan untuk menjadi Guru Ganti Sejarah di sebuah sekolah menengah di Pantai Timur tanah air. Semangat saya untuk berbakti kepada generasi muda sangat berkobar-kobar. Tetapi saya agak kecewa pada ketika itu kerana kebanyakan daripada pelajar-pelajar saya tidak begitu meminati Sejarah. Bagi mereka, sejarah hanya sekadar Mata pelajaran wajib yang mereka pelajari di sekolah. Apa yang saya perhatikan, setiap kali tiba waktu sejarah, mereka hanya akan membuka buku teks dan menyalin nota yang diberi oleh guru.
Sehinggalah pada suatu hari ketika saya mengajar matapelajaran Sejarah kepada mereka, dan ketika kira-kira 15 minit sebelum kelas tamat, saya meminta mereka berdiri dan mula menyoal mereka seorang demi seorang tentang pelajaran yang mereka pelajari hari ini. Apa yang mendukacitakan, tidak seorang pun yang boleh menjawab soalan saya. Setelah diselidik rupa-rupanya mereka tidak meminati sejarah kerana bagi mereka itu hanyalah subjek yang membosankan dan tidak penting.
Bagi saya, murid-murid perlu di tekan kan dengan Sejarah. Kerana sejarah membantu mereka menyelidik akar-umbi sesuatu perkara.

Untuk pengetahuan semua, saya bukanlah seorang pengkaji sejarah. Apatah lagi memiliki apa-apa sijil atau ijazah berkenaan ilmu sejarah. Malahan saya hanyalah seorang graduan Sarjana Muda Undang-Undang dari universiti Awam tempatan dan sekarang sedang menjalani latihan sebagai Pupil in Chamber(Pelatih dalam Kamar) untuk menjadi seorang peguam. Saya merupakan seorang pengamal undang-undang dan sedikit sebanyak berjaya mengaitkan elemen sejarah dalam kerja harian saya. Terutamanya ketika berhadapan dengan kes-kes yang rumit, saya cuba menggunakan pendekatan sejarah untuk menyiasat bagaimana sesuatu peristiwa itu berlaku, tempat dan masa yang material serta pihak-pihak yang terlibat.

Oleh itu, bagi saya, tidak perlu untuk menjadi seorang pengkaji sejarah atau guru Sejarah untuk kita memgenali dan mencintai sejarah. Cukuplah dengan sekadar peka dan mengambil tahu akan perihal sekeliling dan mencari punca berlakunya sesuatu peristiwa. Bahkan ayat-ayat suci Al-Quran juga diturunkan oleh Allah S.W.T di atas sebab-sebab tertentu (Asbabul-nuzul/reason of revelation) dan untuk menerangkan sesuatu hukum dan perkara.
Sebagai generasi muda yang akan memimpin negara pada suatu masa nanti, berpeganglah pada sejarah, kerana disitu kita akan sedar akan pentingnya perpaduan bangsa dan agama.

2 comments:

  1. Adam ChenJoseph22 April 2013 at 23:18

    hey, I love history too

    ReplyDelete
    Replies
    1. Yeah i knoe..but you do have a good history. mind if I share it here?

      Delete

Thank you for your feedback